Suasana dan Urusan Tidak Rasmi.
Suasana tidak rasmi berkaitan dengan sesuatu yang lebih bersifat persendirian, peribadi dan tidak berkaitan dengan kepentingan kerajaan dan instirusi lain.Antara suasana dam urusan tidak rasmi yang lazim termasuklah:
- Perbualan (bersemuka atau melalui alat seperti telefon)
- Perbincangan biasa
- Jual beli biasa
- Gurau senda
- Catatan peribadi
Komunikasi dalam suasana dan urusan tidak rasmi lazimnya tidak tertakluk terlalu ketat kepada peraturan linguistik. Yang dipentingkan ialah kesalingfahaman. Bahasa badan dan isyarat tangan boleh digunakan untuk menyampaikan maksud.
Namun demikian, peraturan daripada sudut sosiolinguistik dan pragmatik masik tetap dipentingkan dalam komunikasi yang tidak rasmi. Contohnya penggunaan kata sapaan atau kata panggilan yang menepati sistem masyarakat, misalnya sistem kekeluargaan. Ianya berkaitan taraf atau kedudukan dalam keluarga, faktor usia atau faktor lain.
Begitu juga untuk urusan jual beli di pasar atau di kedai makan masih perlu dijaga kesesuaian penggunaan kata sapaan dan budi bahasa. Dalam keadaan itu lebih baik digunakan sahaja sapaan yang neutral seperti `cik’ atau `saudari’, `encik’ dan `saudara’. Orang tua pula belum tentu sesuai disapa dengan panggilan `pak cik’ atau `mak cik’ kerana ia mungkin tidak gembira disapa dengan cara itu. Maka `encik’ dan `puan’ lebih wajar digunakan untuk menyapa orang berumur yang tidak kita kenal.
Pernah terjadi sorang profesor wanita yang agak berumur disapa oleh seorang pelajar di kawasan kampus dengan panggilan `mak cik’ dan profesor itu berasa tersinggung sehingga komunikasi yang berlaku sesudahnya antara mahasiswa itu dengan beliau menjadi kurang mesra.
Ada pula kisah seorang pegawai kanan yang disapa oleh seorang gadis yang menjual makanan di sebuah restoran dengan panggilan `abang’ terus meninggalkan restoran itu kerana tidak selesa dengan sapaan begitu.
Panggilan nama kepada orang yang tidak atau kurang akrab dengan kita, sekalipun dalam suasana tidak rasmi, pun tidak manis, terutama jika orang itu lebih tua dan lebih tinggi kedudukannya daripada kita. Panggilan nama mungkin sesuai hanya dalam kalangan teman yang cukup akrab. Budaya Barat mungkin membenarkan keadaan sebegitu, tetapi budaya kita mempunyai asas norma yang lain. Kata pepatah Melayu, ``Yang tua dihormati, yang muda disayangi”
No comments:
Post a Comment