Friday, August 21, 2009

KESANTUNAN BAHASA- MUKA 1

BBM110- KESANTUNAN BAHASA

Pengenalan

Kata santun menurut Kamus Dewan ialah halus budi bahasa atau pekerti, beradab, bersopan. Oleh itu kata kesantunan berkaitan dengan sifat kehalusan budi bahasa atau budi pekerti dan kesopanan.

Kesantunan bahasa secara umum bermaksud penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi salah satu cirri penting bangsa yang bertamadun.

Bahasa Melayu sebagi bahasa yang telah beratus-ratus tahun menjadi bahasa tamadun di rantau ini dan sejak kemerdekaan pada tahun 1957 menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan juga bahasa ilmu di Negara ini mempunyai tradisi yang mantap dalam pengungkapan dan penggunaan bahasa yang santun.

Peraturan Bahasa sebagai Asas Kesantunan Bahasa

Kesantunan bahasa diukur dengan berdasarkan kepatuhan pengguna bahasa kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Sebahagian peraturan itu bersifat sejagat seperti penggunaan panggilan kehormat, kata sapaan kekeluargaan dan ungkapan bertatasusila. Ada sebahagiannya pula yang bersifat khusus bagi sesuatu masyarakat atau bangsa, seperti bentuk-bentuk panggilan kehormat menurut sistem susun lapis masyarakat, protokol dalam pentadbiran atau adat istiadat dan sistem kekeluargaan dalam masyarakat berkenaan.

Prof. Ameritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar merumuskan bahawa ada tiga jenis peraturan penggunaan bahasa iaitu:

1. peraturan linguistik

2. peraturan sosiolinguistik

3. peraturan pragmatik

Kepatuhan kepada ketiga-tiga pertaturan itu secara bersepadu menjadi asas

Kesantunan bahasa. Dengan perkataan lain, orang yang santun bahasanya ialah orang yang sedapat mungkin berbahasa dengan menitikberatkan ketiga-tiga peraturan bahasa itu.

No comments:

Post a Comment