Peraturan Linguistik
Peraturan lingustik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan bahasa sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi.
Sebab pertama peraturan linguistik dipatuhi adalah untuk menjaga kesempurnaan perjalanan urusan atau majlis yang bergantung pada kejelasan mesej yang disampaikan.
Sebab kedua ialah untuk memastikan bahawa semua yang hadir atau terlibat dengan urusan atau majlis rasmi itu dapat saling memahami jurang komunikasi disebabkan kelainan dialek atau keragaman bahasa yang digunakan oleh sesuatu pihak.
Peraturan Sosiolinguistik
Peraturan sosiolinguistik berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks kominikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat. Sebagai contoh, dalam urusan dan majlis rasmi, perlu dipatuhi penggunaan kata sapaan rasmi yang betul. Penggunaan gelar ( seperti Tun, Tan Sri, Dato’, Dato’ Seri dan lain-lain), panggilan hormat (seperti Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat, Yang Amat Berbahagia, Yang Berbahagia, Yang Berhormat Mulia dan sebagainya) serta kata ganti nama diri (seperti tuan dan puan) amat penting diberi perhatian sebagai salah satu adab atau unsur kesantunan bahasa.
Dalam suasana tidak rasmi juga masih diperlukan penggunaan gelar dan kata ganti nama diri yang menepati kedudukan seseorang dan juga hubungannya dengan orang yang berbicara. Sebagai contoh, orang yang bergelar tetap perlu disapa dengan gelar yang dimilikinya. Demikian juga kata sapaan yang mewakili sistem kekeluargaan perlu digunakan dengan betul sebagai tanda hormat. Seorang anak saudara yang seusia atau lebih tua daripada ayah saudara atau ibu saudaranya tetap perlu menyapa ayah saudara atau ibu saudaranya itu dengan panggilan pak cik atau mak cik atau dengan panggilan lain yang setara dengannya , misalnya pak ngah, pak su, mak andak dan sebagainya.
Peraturan Pragmatik
Peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan dengan tujuan komunikasi. Peraturan ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan. Maka itu, dalam perundingan, jual beli, ceramah, dialog dan sebagainya diperlukan penguasaan peraturan pragmatik supaya tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang sama kesopanan bahasa terpelihara dan pembicara tidak menyakiti perasaan orang lain. Antara aspek yang perlu dipatuhi termasuklah pemilihan kata, ungkapan dan wacana yang sesuai dengan tujuan pembicara. Dalam wacana, misalnya dapat dipilih wacana jenis penceritaan, pemaparan, penghujahan dan pembujukan.
No comments:
Post a Comment