Friday, August 21, 2009

KESANTUNAN BAHASA- MUKA 5

Kesantunan Bahasa:

Sistem Bahasa

Salah satu asas kesantunan bahasa ialah peraturan linguistik. Ianya berkaitan dengan penggunaan bahasa daripada sudut tatabahasa (kata dan ayat), sebutan dan intonasi serta sistem ejaan dan tanda baca. Tatabahasa diperlukan dalam kedua-dua bentuk komunikasi iaitu lisan dan tulisan. Sebutan dan intonasi pula diperlukan dalam komunikasi lisan, sementara sistem ejaan dan tanda baca diperlukan dalam komunikasi tulisan. Peratusan linguistik perlu dikuasai oleh pengguna bahasa, terutama dalam konteks yang rasmi.

Tatabahasa

Tatabahasa menjadi unsur yang amat penting dalam mana-mana bahasa. Tatabahasa merupakan peraturan bagaimana kata dan ayat dibina dan seterusnya disusun dalam bentuk yang lebih besar iaitu wacana.

Sepucuk surat misalnya ialah sebuah wacana, iaitu binaan bahasa yang lengkap, kerana ada maklumat pengirim, penerima, perkara, kandungan surat dan sebagainya.

Demikian juga ucapan adalah sebuah wacana yang terbentuk daripada sejumlah kata dan ayat. Setiap kata dan ayat yang gterdapat dalam surat dan ucapan itu dibina atau dibentuk berdasarkan peraturan yang disebut tatabahasa.

Idea, pendapat dan perasaan yang hendak disampaikan oleh seseorang perlu disusun menurut peraturan tatabahasa. Pendengar atau pembaca hanya dapat memahami idea, pendapat dan perasaan orang lain melalui bahasa yang disusun berdasarkan peraturan yang telah menjadi asas bahasa dalam masyarakat.

Penguasaan tatabahasa penting untuk memastikan bahawa bahasa yang kita gunakan kemas, teratur dan lancar serta lepas daripada kesilapan yang mengurangkan mutu bahasa yang kita gunakan.

No comments:

Post a Comment